fbpx

Ibu hamil kembar, anak OKU maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan Perodua Alza dinaiki Fatin Hazlin Dahlia dan anaknya yang maut dalam kemalangan di KM 83, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Kampung Bintang, Setiu semalam.

SETIU – Seorang bayi lelaki, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman yang kisahnya menderita otak di luar tempurung kepala disiarkan dalam kolum Kosmo! Prihatin tahun lalu maut dalam kemalangan di Kilometer 83, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Bintang semalam.

Tambah menyedihkan kemalangan pada pukul 4.40 petang itu turut mengorbankan ibunya iaitu Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang sedang sarat hamil kembar.

Fatin Hazlin Dahlia meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Sayyid Uwais Al-Qarni, 22 bulan yang merupakan anak ketiganya pula menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Setiu di sini malam tadi.

Gambar kenangan Fatin Hazlin Dahlia dan anaknya, Sayyid Uwais Al-Qarni.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu dari Chiku, Gua Musang, Kelantan.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan Perodua Alza itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Sebuah lori treler tangki minyak yang berada di laluan berkenaan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, kemalangan itu turut menyebabkan dua beradik Sayyid Uwais Al-Qarni iaitu Nur Qaireen Luffiya, 5, dan Sayyid Lutfi, 7, masing-masing patah kaki kiri dan tangan kiri.

Tambah beliau, suami Fatin Hazlin Dahlia iaitu Mohd Lekman Zakaria, 36, pula cedera ringan.

Kosmo! 24 Februari 2021 melaporkan Sayyid Uwais Al-Qarni atau dipanggil Adam oleh keluarga­nya dilahirkan dengan keadaan otaknya berada di luar tempurung kepala, lumpuh dari baha­gian pinggang, mempunyai lebihan air di dalam kepala dan menghidap penyakit saraf.

Nasib bayi itu mendapat simpati ramai yang menghulurkan sumbangan bagi mendapatkan rawatan terbaik termasuk pembedahan di bahagian belakang bagi membetulkan saraf.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI