LONDON – Pengendali Chelsea, Graham Potter berpeluang untuk merekodkan 10 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam semua kejohanan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Brighton malam ini.
Ini adalah kali pertama Potter, 47, bakal menentang pasukan bekas kelabnya sejak melepaskan jawatan pengurus Brighton pada 8 September lalu bagi mengisi kekosongan di Chelsea susulan pemecatan Thomas Tuchel.
Ia merupakan tindakan yang tepat dilakukan pengurusan The Blues kerana Potter berjaya mencatat enam kemenangan dan tiga seri daripada sembilan perlawanannya setakat ini.
Ia termasuk memastikan Chelsea menempah tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan E yang turut dihuni oleh AC Milan, RB Salzburg dan Dinamo Zagreb.
Brighton pula mengharungi nasib berbeza apabila pengganti Potter iaitu Roberto de Zerbi masih gagal mencatat kemenangan daripada lima perlawanan setakat ini.
Lebih membimbangkan pengendali dari Itali itu adalah Brighton hanya sekali menang ke atas Chelsea dalam 10 pertemuan kompetitif iaitu dalam saingan Piala FA pada 1993.
“Para peminat tidak seharusnya terlalu kecewa kerana kami masih mempunyai beberapa progres sedang dilakukan sebelum ia mencapai tahap yang dimahukan.
“Buktikannya kami berjaya tunjukkan bagaimana kami beraksi dan bertahan menentang salah satu pasukan terbaik di Eropah (Manchester City),” kata tonggak pertahanan Brighton, Joel Veltman. – AGENSI