NEWCASTLE – Kelab terkaya dunia, Newcastle United dilaporkan bersedia untuk mengemukakan tawaran baharu kepada pemain tengahnya, Bruno Guimaraes bagi mengelak pemain itu terlepas menyertai pasukan lain.
Tawaran baharu itu nanti akan menyaksikan pemain antarabangsa Brazil itu bakal meraih pendapatan sebanyak £200,000 (RM1.09 juta) seminggu selepas dia juga berjaya mempamerkan aksi cemerlang musim ini.
Biarpun baharu sahaja menyertai The Magpies pada Januari lalu selepas melengkapkan perpindahan bernilai £40 juta (RM218.49 juta) dari Olympique Lyon, beberapa pasukan di Eropah dikatakan berminat untuk mendapatkannya.
Seteru di Liga Perdana Inggeris, Chelsea menjadikan Guimaraes sebagai antara calon untuk dibawa ke Stamford Bridge sebagai perancangan awal ketika dua pemain mereka, N’Golo Kante dan Jorginho bakal mengakhiri kontrak hujung musim ini.
Selain itu, gergasi La Liga, Real Madrid juga cuba mengintai peluang untuk mendapatkan Guimaraes yang berjaya mempamerkan potensi dan bakat sebenarnya selepas berhijrah ke St. James Park.
Bagaimanapun, tugas kedua-dua pasukan itu mungkin sukar apabila Guimaraes dilaporkan sudah menemui keseronokan dan masih gembira untuk terus kekal bersama Newcastle, malah memasang impian besar bersama pasukan itu.
“Bukan mudah ketika membuat keputusan untuk berpindah negara dan liga terutama ketika tahun berlangsungnya Piala Dunia. Namun, saya fikir ia adalah masa yang sesuai.
“Saya sangat gembira beraksi di sini dan rasa dihargai peminat. Saya memasang impian untuk menjadi legenda kelab ini dan kekal lebih lama. Saya tidak memikirkan mengenai perubahan, fokus utama ketika ini adalah Newcastle dan Piala Dunia,” jelas Guimaraes. – AGENSI