TUMPAT – Bau asap berjaya menyelamatkan seorang remaja daripada menjadi mangsa kebakaran selepas tingkat atas rumahnya di Kampung Kepulau di sini terbakar malam tadi.
Kejadian pukul 11.30 malam itu berlaku semasa Mohd. Zulffi Ramli,18, yang sedang hampir terlelap untuk tidur di dalam biliknya sebelum terhidu bau asap.
Menurutnya, curiga dengan bau itu, dia terus keluar dari bilik tidurnya untuk memeriksa kawasan persekitaran rumah.
“Sebaik sahaja membuka pintu bilik tidur abang, Mohd. Hafiz, 26, saya terkejut mendapati asap tebal menyelubungi kawasan tersebut.
“Melihat keadaan itu, saya terus turun ke tingkat bawah meminta bantuan jiran sebelum ada yang membantu menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Mohd. Zulffi, dia sempat menyelamatkan sebuah motosikal miliknya kerana api marak terlalu cepat.
Katanya, dia berada seorang diri di rumahnya kerana kedua ibu bapanya pergi ke Nilai, Negeri Sembilan untuk menguruskan pendaftaran salah seorang abangnya di sebuah universiti. – KOSMO! ONLINE