fbpx

Batuk kering diramal atasi Covid-19, rekod 1.6 juta kematian pada 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG bayi menerima vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) untuk TB semasa program imunisasi kebangsaan untuk kanak-kanak di Banda Aceh, Indonesia pada 9 Jun lalu. - AFP

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan bilangan kes tuberkulosis (TB) atau penyakit batuk kering yang mencatat peningkatan selepas bertahun-tahun mengalami penurunan dan membunuh kira-kira 1.6 juta orang pada 2021, lapor laman berita Wion News kelmarin. 

WHO menyatakan, batuk ke­ring mencatatkan peningkatan 14 peratus sejak dua tahun lalu.

Batuk kering yang diatasi oleh Covid-19 sebagai penyakit berjangkit terbesar dunia, telah me­ragut sekitar 1.5 juta nyawa pada 2020 dan 1.4 juta pada 2019.

WHO menyalahkan pandemik Covid-19 sebagai punca peningkatan kes batuk kering. Ini kerana, Covid-19 menjejaskan akses terhadap diagnosis dan rawatan penyakit itu.

“Secara global, anggaran tahunan kematian akibat tibi menurun dari tahun 2005 hingga 2009, tetapi anggaran untuk 2020 dan 2021 menunjukkan trend penurunan ini berubah,” kata WHO dalam laporan tahunan bertajuk Global TB.

Sebahagian besar anggaran peningkatan kematian akibat batuk kering di seluruh dunia direkodkan di empat negara termasuk India, Indonesia, Myanmar dan Filipina.

Laporan WHO itu menjelaskan bahawa batuk kering akan sekali lagi menjadi punca utama kematian di seluruh dunia untuk penyakit berjangkit sekali gus menggantikan Covid-19.

Bagaimanapun, Presiden Perikatan TB, Mel Spigelman memberitahu bahawa situasi itu sudah berlaku berdasarkan kepada kadar kematian tibi secara tahunan berbanding angka kematian Covid-19 terkini.

Seramai 10.6 juta orang dianggarkan jatuh sakit akibat batuk kering pada 2021, peningkatan 4.5 peratus berbanding 2020, kata WHO lagi.

Lapan negara menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah keseluruhan kes global termasuk India, Indonesia, China, Filipina, Pakistan, Nigeria, Bangladesh dan Republik Demokratik Congo. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI