PETALING JAYA – Seramai 246 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang kurang berkemampuan dari seluruh negara mendapat bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara one off dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff melalaui satu kenyataan hari ini berkata, bantuan berkenaan memperuntukan sebanyak RM123,000 untuk disalurkan kepada para pelajar yang berhak dari IPT seluruh negara yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan yang kurang berkemampuan.
“Setiap pelajar yang layak akan disalurkan ke dalam akaun bank masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, Apli berkata, dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat, PTPTN telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.
“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT. Jadikan bantuan ini sebagai pendorong atau motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh.
“Tahun 2022 juga merupakan sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN dan selama tempoh ini PTPTN telah melahirkan ramai modal insan kepada negara.” katanya. -KOSMO! ONLINE.