PETALING JAYA – Maut menimpa seorang penunggang motosikal warga emas selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) di kilometer 2.5 dari Kepong hala Damansara di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya menerima laporan kejadian itu pada pukul 8.02 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Waze dan sebuah lori jenis CAMC sekitar pukul 6.50 pagi.
“Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 64 tahun telah terbabas lalu jatuh sebelum digilis oleh sebuah lori yang turut lalu di lokasi kejadian.
”Ekoran kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Fakruddin berkata, siasatan lanjut namun masih diteruskan dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian.
”Kepada sesiapa yang melihat atau berada di lokasi kejadian mohon tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE