LONDON – Aksi Liga Juara-Juara (UCL) terus membuatkan Antonio Conte kecewa ketika Video Bantuan Pengadil (VAR) menjadi penghalang buat Tottenham Hotspurs meraih kemenangan apabila terikat 1-1 dengan Sporting Lisbon awal pagi semalam.
Walaupun sudah merekodkan lima kejuaraan domestik di peringkat kelab, Conte belum pernah lagi membawa pasukannya melepasi peringkat suku akhir.
Pada perlawanan awal pagi semalam, Spurs sepatutnya mampu mengesahkan kemaraan, namun jaringan kedua Harry Kane dibatalkan oleh VAR kerana didakwa berada dalam kedudukkan ofsaid menyebabkan mereka terpaksa menanti hingga aksi terakhir.
Tambah perit apabila Conte turut dilayangkan kad merah kerana melakukan bantahan terhadap keputusan pengadil dan keputusan itu menyaksikan Spurs masih lagi gagal mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik.
“Saya fikir keputusan ini beri kesan yang agak teruk buat kami. Saya mahu lihat keputusan VAR seperti ini dilakukan kepada pasukan besar lain.
“Saya cukup kecewa dan ia jelas keputusan yang tidak adil buat kami kerana pada ketika itu, bola berada di depan Kane.
“Saya tidak lihat ia sebagai keputusan tepat. Ia beri kesan besar buat kami,” katanya.
Pada perlawanan itu, bekas penyerang Spurs, Marcus Edward terlebih dahulu membuka jaringan buat Sporting Lisbon, namun Rodrigo Bentancur kembali menyamakan kedudukan. – AGENSI