GUA MUSANG – Sebuah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan untuk menghantar 6.2 tan bekalan makanan kepada keluarga Orang Asli di dua pos penempatan di sini bagi menghadapi musim tengkujuh.
Bekalan makanan seperti beras, tepung gandum, gula, biskut dan barangan makanan lain itu dihantar untuk kegunaan kira-kira 417 keluarga Orang Asli di Pos Gob dan Pos Simpor.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, operasi menghantar bekalan makanan itu menggunakan helikopter jenis Mi-17-IV milik Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah.
Katanya, bakul makanan dihantar dari Padang Pusat Sivik di sini ke empat kampung di dua pos penempatan berkenaan bermula semalam dan berakhir hari ini.
“Kita sudah menghantar bantuan makanan itu membabitkan 34 keluarga di Kampung Gawin dan 153 keluarga di Kampung Gob, Pos Gob semalam.
“Pada hari ini, anggota bomba menghantar bekalan kepada 110 keluarga di Kampung Simpor dan 120 keluarga di Kampung Jader. Setiap keluarga akan mendapat bakul makanan seberat 15 kilogram,” katanya.
Tambahnya, penerbangan terbabit melibatkan 10 anggota diketuai juruterbang Leftenan Kolonel Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad dan penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Sulaiman.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, berkata, pihaknya dan Jawatankuasa Bencana Daerah meminta bantuan Unit Udara JBPM untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di dua pos terbabit.
Katanya, penghantaran bantuan makanan itu adalah persediaan awal bagi membantu penduduk Orang Asli yang tinggal di pos penempatan paling jauh di daerah ini untuk menghadapi musim tengkujuh.
“Kita bersyukur apabila menerima bantuan daripada Unit Udara JBPM yang sudi menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli kerana jalan menuju ke dua pos itu ditutup sementara untuk proses baik pulih jambatan dan naik taraf jalan.
“Selain Unit Udara JBPM, misi bantuan itu juga mendapat kerjasama daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Pusat Sivik di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE