fbpx

UKM sediakan 12,920 penginapan kepada pelajar sesi akademik 2022/2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah kolej kediaman di UKM

PETALING JAYA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan kemudahan penginapan kepada seramai 12,920 pelajar di kolej kediamannya bagi Sesi Akademik 2O22/2023.

Pusat Komunikasi Korporat UKM berkata, data terkini Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM sehingga 27 Oktober lalu menunjukkan seramai 12,420 atau kira-kira 96 peratus pelajar telah mendaftar di kolej kediaman.

Katanya, baki kekosongan itu akan ditawarkan kepada 550 pelajar tahun satu ambilan kedua bermula 25 hingga 31 Oktober depan.

“Seperti mana diamalkan di semua Universiti Awam (UA), penginapan pelajar di kolej kediaman diberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan baki kekosongan pula akan dibuka kepada pelajar senior.

“Berdasarkan rekod, hampir 90 peratus pelajar prasiswazah kini ditawarkan penginapan di dalam kampus UKM cakna dengan keperluan untuk menambah lagi penginapan bagi pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan tertinggi UKM bersetuju untuk melaksanakan proses naik taraf Pangsapuri Taman Tenaga dan Kolej Idris Al-Marbawi secara berperingkat.

“Bagi fasa satu, pengurusan tertinggi universiti bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi membaik pulih unit rumah di Taman Tenaga yang boleh menempatkan lebih 450 pelajar.

“Fasa kedua melibatkan perancangan pembaikan sebuah kolej yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Idris Al-Marbawi secara berperingkat. Kedua-dua premis ini juga akan digabungkan menjadi satu identiti kolej baharu setelah proses baik pulih ini selesai,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, UKM juga telah memperkenalkan sistem e-merit bagi memastikan ketelusan dalam pemilihan pelajar bagi penempatan di kolej kediaman.

“Disamping itu, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah menawarkan bantuan kepada golongan pelajar B40 seperti inisiatif terbaru mulai sesi 2022/2023 iaitu bantuan sara hidup dan bantuan makanan berjumlah hampir RM900,000 kepada pelajar yang memerlukan,”ujarnya.

Pada masa sama, kenyataan itu memberitahu bahawa UKM melalui HEP-UKM turut menyediakan bantuan pendidikan pelajar bagi menyokong keperluan pendidikan pelajar yang berjumlah RM200 setiap semester.

“Keperihatinan UKM bukan sahaja merangkumi aspek pendidikan malah merangkumi kesihatan bagi membantu pelajar yang memerlukan sehingga RM15,000.00.

“UKM dengan melalui Skim Tabung Kebajikan Pelajar juga turut menawarkan bantuan kebajikan, khairat kematian, bantuan bencana dan bantuan perubatan sehingga RM10,000 kepada pelajar yang terlibat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI