PENGENDALI Kelantan, Rezal Zambery Yahya mengakui The Red Warriors (TRW) perlu melunaskan misi wajib menang untuk mengembalikan nostalgia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Pada aksi pertama di Stadium Negeri kelmarin, Kelantan berjaya mengejutkan wakil Liga Super, Sarawak United 1-0, namun Rezal akui peluang kedua-dua pasukan masih lagi seimbang.
“Saya rasa peluang buat kedua-dua pasukan masih lagi seimbang. Walaupun kita menang di Sarawak tetapi kami masih ada 90 minit untuk diharungi pada perlawanan kedua di Kota Bharu, Isnin depan.
“Jadi kami perlu baiki segala kelemahan dan pemain tidak lagi boleh leka. Saya anggap perhitungan ini masih lagi 0-0 dan kita perlu menang untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
Pada aksi kelmarin, Rezal mengakui barisan pemain TRW berdepan kesukaran, namun komitmen dan kerja keras nyata membuahkan hasil lumayan untuk menghadirkan kejutan ke atas tuan rumah.
“Memang kita jangkakan ia adalah perlawanan sukar kerana Sarawak United adalah pasukan Liga Super. Bagi saya, ia adalah perlawanan yang adil buat kedua-dua pasukan.
“Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada para pemain kerana menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan. Apabila kami sudah mampu menang, saya harap pemain dapat kekalkan konsisten untuk perlawanan di Kota Bharu nanti,” katanya.