ALOR GAJAH – Sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia setahun maut dalam kemalangan di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 28 tahun dan bayi mereka meninggal dunia di lokasi nahas.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Ezanee Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 11.02 pagi.
Seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Ayer Keroh dan BBP Tampin, Negeri Sembilan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pihak kami mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah Honda Jazz dinaiki sepasang suami isteri bersama bayi mereka dan sebuah lori dua tan.
“Tiga beranak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak cedera.,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu yang turut ke lokasi kejadian memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah di sini untuk dibedah siasat.
Nahas tersebut turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih lima kilometer. – KOSMO! ONLINE