HARGA yang perlu dibayar seseorang artis adalah kesihatan disebabkan kepadatan jadual dan rutin bekerja tanpa henti.
Situasi tersebut kini sedang dialami Sian daripada kumpulan TFN (dahulunya dikenali sebagai T1419) yang dilaporkan berdepan masalah pendengaran.
Agensi MLD Entertainment dalam satu kenyataan memaklumkan, Sian mengalami masalah pening dan sakit kepala akibat simptom sensorineural (saraf deria).
Masalah tersebut merujuk kepada sakit yang dialami pada bahagian tengah dan luar telinga akibat terdedah dengan bunyi bising dalam tempoh yang lama.
Justeru menurut agensi itu, Sian tidak dapat menyertai aktiviti promosi sempena perancangan kemunculan semula kumpulannya yang melancarkan sebuah album mini beberapa hari lalu.
“Jadi secara rasminya dia tidak dapat menyertai promosi untuk album terbaharu TFN, BEFORE SUNRISE Part. 4.
“Kami mahu meletakkan kesihatan artis naungan sebagai perkara paling utama, justeru Sian akan mengambil masa untuk fokus terhadap rawatan,” katanya.