KUALA LUMPUR – “Saya harap nama saya akan dibersihkan.”
Demikian kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang mengarahkannya membela diri atas empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.
Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, bagi membela diri, beliau akan memberikan kenyataan secara bersumpah di mahkamah selain memanggil saksi pembelaan.
“Justice can win and justice is fair (keadilan boleh menang dan keadilan adalah adil).
“Dengan segala usaha yang dibuat, saya berharap nama saya akan dibersihkan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Syed Saddiq menerusi ciapan di Twitter berkata, prima facie tidak bermaksud sudah dibuktikan bersalah.
“Hanya peguam pendakwaan dapatkan bukti kes mereka. Jadi sekarang, saya kena membela di mahkamah untuk buktikan kes saya pula.
“Saya masih belum didapati bersalah. Kes saya akan bersambung pada Februari. Time to tell my story (masa untuk ceritakan kisah saya),” ujarnya.
Terdahulu, Syed Saddiq diperintah bela diri bagi empat pertuduhan iaitu bersubahat, pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram.
Ketika ditanya berhubung Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15), Syed Saddiq memberitahu, dia menyerahkan semua keputusan kepada parti sama ada dibenarkan bertanding atau sebaliknya. -KOSMO! ONLINE