fbpx

PRU15: Tolak calon ‘mi segera’ – Tengku Adnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Adnan.

PUTRAJAYA – Tolak calon ‘mi segera’ yang tiba-tiba muncul pada saat pilihan raya.

Demikian kata penyandang empat penggal kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kemunculan calon luar yang berhasrat bertanding di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, beliau mahu warga Putrajaya supaya lebih bijak dalam menentukan calon pilihan mereka.

“Lantas, tolaklah mana-mana calon ‘mi segera’, tiba-tiba muncul pada saat pilihan raya sedangkan selama ini susah senang sakit perit mereka ini tak pernah pun bertanya khabar, jauh sekali nak hulur bantuan.

“Kebijaksanaan rakyat penentu masa depan. Maka, jawapan itu nanti terjemahkanlah dalam kertas undi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau mahu warga Putrajaya memilih calon yang benar-benar bersama rakyat saat menghadapi kesukaran, sewaktu diri ditekan dan dihimpit.

Ku Nan berkata, beliau akui PRU15 adalah terbuka dan sesiapa sahaja warga Malaysia yang berkelayakan boleh mencalonkan diri untuk bertanding dalam PRU ini di mana-mana sahaja kawasan yang diingini mereka.

“Apa-apa pun parti politik yang diwakili waima tidak berparti sekalipun boleh mencalonkan diri bagi menjadi wakil rakyat sesuatu kawasan.

“Justeru, di sinilah kebijaksanaan para pengundi amat penting. Jangan salah pilih kerana natijahnya sepenggal dalam kemelut yang macam-macam.

“PRU inilah masa memilih setelah membuat penilaian dan penelitian berdasarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling malah yang dirasai oleh diri sendiri pun,” katanya.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya bertahan selama 22 bulan manakala, Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan negara dalam keadaan carca marba.

Jelasnya lagi, pada zaman PN rakyat terkurung, Parlimen digantung dan ‘flip flop’ dalam aktiviti ekonomi malah lebih teruk apabila Perdana Menteri daripada PN tidak kisah bebanan rakyat sehingga wujud kempen kibar bendera putih, kes jenayah, masalah mental dan bunuh diri yang banyak berlaku.

Semalam, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr. Radzi Jidin diumumkan sebagai calon PN di Parlimen Putrajaya pada PRU15 nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI