KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) dalam penganjuran ceramah atau himpunan yang bakal dianjurkan oleh parti politik semasa berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, semua SOP itu akan dikeluarkan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bertanggungjawab.
“Apabila masuk sahaja gelanggang pilihan raya, SPR yang berkuasa penuh seperti peraturan telah ditetapkan.
“PDRM hanya melaksanakan peraturan yang telah ditetapkan pihak berkenaan (SPR),” katanya selepas ditemui pemberita pada sambutan Majlis Maulidur Rasul Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Terbuka Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa di sini malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, KDN bercadang untuk menyelaraskan semua siasatan berkaitan kes forensik melalui pusat sehenti.
Katanya, pusat sehenti itu akan mempercepatkan proses siasatan yang dilakukan apabila ia dapat dijalankan di satu tempat yang strategik selain mampu menjimatkan masa dan kos. – KOSMO! ONLINE