PETALING JAYA – Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum lebih 21.1 juta pengundi bakal mengetahui calon wakil rakyat yang akan bertanding di kawasan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun keterujaan untuk membuang undi semakin terasa dalam kalangan perantau.
Golongan perantau terutamanya anak muda yang pertama kali mahu mengundi bagai tidak sabar untuk pulang memilih pemimpin yang akan memperjuangkan nasib mereka.
Pelbagai perancangan telah dilakukan dengan ada antaranya akan pulang menggunakan perkhidmatan awam, bas dan kapal terbang selain menggunakan kenderaan sendiri.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda, Pendidikan Khas Universiti Kebangsaan Malaysia, Siti Fatin Najwa Ahmad, 24, berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan politik negara dan menantikan saat bersejarah itu selain tidak sabar ingin menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat.
“Saya akan pulang mengundi di Bukit Payong, Marang, Terengganu. Mujur pihak universiti menyediakan pengangkutan bagi membolehkan kami pulang menunaikan tanggungawab dan sudah tentu detik ini tidak akan saya sia-siakan.
“Selaku anak muda, saya harap wakil rakyat yang dipilih dapat menjalankan tanggungjawab kerana itu adalah amanah dan kepercayaan yang besar diberikan oleh rakyat kepada mereka,” katanya semalam.
Senada dengan Siti Fatin, pekerja swasta, Ummul Aiman Hidayah Hamdan, 25, berkata, dia akan pulang mengundi di Kuantan dan merancang pulang dengan kapal terbang bagi menjimatkan masa dan tidak terlibat dengan kesesakan jalan.
“Perasaan ketika ini agak berdebar untuk pulang mengundi macam saya calon yang bertanding, teruja pasti ada tapi lebih kepada berdebar untuk memilih dan menantikan siapa yang akan menerajui negeri Pahang.
“Mengundi ini sangat penting, satu undi itu merupakan penentu sama ada menang atau kalah, mendapat pemimpin baik ataupun sebaliknya,” jelasnya.
Juruwang sebuah pasar raya, Hazlyn Ramli, 21, berkata, dia akan pulang ke Tanah Merah, Kelantan dan perasaannya bercampur baur kerana risau memikirkan kemungkinan banjir berlaku.
“Saya akan pulang dengan kereta dan sebagai seorang anak muda yang pertama kali ingin mengundi, pastinya perasaan teruja itu ada.
“Semua sedia maklum Kelantan tidak akan pernah terkecuali daripada bencana banjir. Mengundi sememangnya tanggungjawab tapi keselamatan itu lebih utama,” jelasnya.
Norhadi Nasron, 47, yang berasal dari Kuala Selangor berkata, dia teruja untuk pulang mengundi kerana mahukan perubahan baharu tampuk pemerintahan yang lebih stabil berbanding sebelumnya. -KOSMO! ONLINE