fbpx

Pilih calon buat kerja, bukan kuat bercakap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SANA sini sekarang orang sibuk bercakap pasal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan siapa calon yang patut diletakkan di sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mewakili suara mereka ke peringkat tertinggi.

Bagi orang-orang politik pula, ada yang tidak sabar-sabar menawarkan diri untuk bertanding walaupun selama ini jasa mereka tidak seberapa pun, cuma cakap sahaja berdegar-degar.

Kalau dengar daripada cakap-cakap ahli politik, terasa seolah-olah langit mahu runtuh, sedangkan realitinya habuk pun tiada.

Bising umpama paluan tin kosong yang begitu nyaring bunyinya, sedangkan isinya hanya hampas.

Maka bermulalah episod menabur janji dalam bentuk manifesto untuk memikat hati rakyat yang selama ini terpinggir ekoran termakan pujukan segelintir politikus yang dikatakan lebih sudu daripada kuah.

Lebih parah, pada musim pilihan raya ini rakyat turut disogokkan dengan tohmahan, fitnah dan perkara-perkara tidak sepatutnya bagi menjatuhkan lawan masing-masing terutamanya di media sosial.

Bukan tidak ada ahli politik yang boleh diharap memberikan khidmat, tetapi kebanyakan rakyat sukar untuk membuat penilaian sendiri.

Ini disebabkan terlalu banyak informasi yang bercampur aduk dihidangkan kepada orang ramai pada zaman tanpa sempadan ini.

Dalam hal ini, orang ramai yang menjadi penentu kepada pemerintahan negara untuk jangka masa lima tahun akan datang perlu pandai memainkan peranan mereka memilih calon PRU yang terbaik bagi menjaga kebajikan mereka.

Ini termasuk pengundi muda menerusi inisiatif undi18 yang buat julung-julung kalinya membuang undi pada pilihan raya besar pada PRU15, 19 November depan.

Biarpun masih mentah, namun mereka dikatakan bakal menentukan pola geopolitik negara selepas ini berdasarkan jumlah mereka lebih satu juta orang yang mampu memberikan kesan kepada setiap calon yang bertanding.

Orang ramai termasuk pengundi muda perlu memilih calon yang mereka suka berdasarkan kebolehan membuat kerja, bukan hanya pandai bercakap tetapi tidak memberi apa-apa impak kepada kehidupan rakyat bawahan.

Jangan sampai kita menyesal kerana tersalah pilih pemimpin yang hanya pandai mencari kesalahan dan keburukan orang lain, tetapi tidak sedar badan sendiri berbau hapak.

Jadilah pengundi bijak demi masa depan negara yang lebih baik dan cemerlang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI