AMSTERDAM – Perubahan sistem permainan yang dilakukan Jurgen Klopp jelas membuahkan hasil apabila Liverpool meraih kemenangan 3-0 ke atas Ajax dalam aksi kelima Kumpulan A Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Selepas sering menggunakan formasi 4-3-3, Klopp membuat perubahan menggunakan taktikal 4-4-2 dan nyata berhasil apabila menyaksikan penyerangnya, Darwin Nunez makin menyerlahkan kualiti ketika menghasilkan satu daripada tiga gol Liverpool.
Paling penting, Klopp melihat kemenangan itu sebagai reaksi balas positif daripada pemainnya selepas dihimpit kecewa dengan kekalahan 0-1 kepada Nottingham Forest dan tiga mata kali ini mengesahkan slot Liverpool ke pusingan 16 terbaik.
“Jelas sekali kami membuat perubahan terhadap sistem permainan dan sebenarnya kami terpaksa melakukannya. Jelas sekali perubahan ini sesuatu yang masuk akal berbanding corak permainan 4-3-3.
“Ia menjadi sesuatu yang baharu buat pemain, namun kami tidak mahu Darwin bermain di bahagian sayap. Kami mahu peranannya lebih kepada penyerang di bahagian tengah.
“Sebab itu juga kami terpaksa melakukan perubahan dalam perlawanan ini,” kata Klopp yang mempertaruhkan Nunez dan Mohamed Salah sebagai penyerang utama.
Berbaki satu lagi perlawanan yang akan berlangsung awal bulan depan, The Reds kini berada di tangga kedua Kumpulan A dengan 12 mata, kurang tiga mata berbanding Napoli di puncak carta.
Selain Salah yang membuka tirai jaringan dan Nunez yang turut mencetak nama selaku penjaring gol, Harvey Elliot melengkapkan malam cemerlang Liverpool dengan gol ketiga.
“Dia (Nunez) mengharungi perlawanan yang baik, namun dia mungkin agak terkejut dengan situasi itu. Dia beri sumbangan ketika menyerang dan membantu rakan sepasukan semasa bertahan,” jelasnya. – AGENSI