Ayam Tambatan buat pensyarah senyum lebar
KESIBUKAN bergelar pensyarah tidak menghalang Dr. Muhammad Fadhil Marsani membahagikan masa membuat percaturan terbaik selepas pasukannya, Ayam Tambatan mendapat Top 5 pada Liga Fantasi Kosmo!.
Pengurus yang menggunakan nama Fadh M berusia 31 tahun itu mengakui, keputusan mempertaruhkan pemain kurang ternama boleh dianggap tepat selepas beberapa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak begitu konsisten musim ini.
“Secara jujur, saya tidak sangka mengutip mata tertinggi pada minggu ini tetapi inilah rezeki selepas melihat semua pemain dalam pasukan agak menjadi.
“Tiada rahsia kerana pemain-pemain yang saya ada turut dimiliki oleh pasukan lain seperti Erling Haaland sebagai kapten dan Kevin de Bruyne di jentera tengah.
“Namun, keyakinan penuh terhadap pasukan Nottingham Forest untuk menewaskan Liverpool membuahkan hasil memandangkan pasukan saya dibarisi Neco Williams dan penjaga gol, Dean Henderson yang menyumbang mata agak tinggi,” kata anak jati Petaling Jaya, Selangor itu.
Peminat Chelsea buat percaturan saat akhir
TIDAK tergesa-gesa membuat pertukaran bagi menghadapi saingan Fantasy Premier League (FPL) minggu ke-13 membawa tuah buat pasukan No Kane No Gain apabila menjadi salah seorang pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo!.
Pengurus pasukan, Syafiq Zamri mengakui, dia akan membuat percaturan kira-kira 30 hingga 60 minit sebelum jendela perpindahan FPL ditutup setiap minggu bagi membentuk satu skuad mantap.
Justeru, dia yang merupakan penyokong Chelsea menyuarakan rasa bangga dan gembira kerana skuadnya berjaya menjadi salah sebuah pasukan mengutip mata tertinggi bagi saingan minggu ke-13.
“Sudah tentu saya rasa sangat gembira kerana rezeki untuk menjadi salah seorang pemenang dalam saingan Liga Fantasi Kosmo!. Pemilihan (Erling) Haaland sebagai kapten membantu kemenangan ini.
“Bagaimanapun, percaturan saat akhir dilihat menjadi faktor utama kemenangan kerana saya dapat tahu siapa pemain cergas atau berkemungkinan tidak diturunkan pada perlawanan minggu itu,” katanya.
Duo sensasi Fulham penyelamat Reds Fyz FC
STRATEGI meletakkan dua pemain utama Fulham iaitu Alexander Mitrovic dan Andreas Pereira membolehkan Reds Fyz FC mengutip mata mingguan tertinggi bagi minggu ke-13 (GW13) Liga Fantasi Kosmo!.
Pengurusnya, Mohd. Hafiz Zulfakar menaruh keyakinan terhadap Fulham biarpun menyedari bermain di tempat lawan berdasarkan prestasi Leeds United yang terumbang-ambing musim ini.
“Bagi GW13, saya kembali menggunakan (Erling) Haaland sebagai kapten sebab prestasinya. Saya anggap Mitrovic dan Haaland ‘kebal’ dari segi jadual.
“Maksudnya, sesiapa pun mereka lawan, Mitrovic dan Haaland tetap akan menjaringkan gol. Mungkin ia membuatkan markah saya tinggi kalau selama ini prestasi hancur.
“Bonus buat saya apabila Leicester City beri kejutan dengan (James) Maddison jaringkan gol, manakala (Timothy) Castagne pula assist dan clean sheet,” katanya.
Lebih menarik, pengurus dari Klang, Selangor itu sudah mempunyai rencana untuk terus menjadi antara mata mingguan tertinggi bagi saingan GW14 yang akan membuka tirainya pada malam ini.
Lega tunjukkan hasil berbaloi kepada isteri
PENGURUS lubok fc, Hafiz Hanafiah akhirnya dapat membuktikan sesuatu kepada isterinya bahawa permainan fantasi Liga Perdana Inggeris (EPL) mampu membuahkan hasil apabila muncul lima pemenang mingguan.
Untuk minggu ke-13, Erling Haaland, Harry Kane, Kevin De Bruyne dan Tyrone Mings menjadi antara penyumbang mata terbesar buat Hafiz, sekali gus menghadirkan rasa puas buatnya.
“Untuk kali ini, saya berpegang kepada Haaland, De Bruyne, Kane dan Salah. Selain dibantu oleh nasib, Mings juga membantu pasukan saya dapatkan lebih banyak mata.
“Kebiasaannya saya akan menonton siaran langsung setiap perlawanan dan kalau tidak sempat saya akan lihat rangkuman perlawanan. Dari situ, saya akan nilai pemain sebelum buat pemilihan terbaik dalam pasukan.
“Kalau ikutkan, saya kejar hadiah keseluruhan tetapi mungkin ini rezeki saya. Boleh saya guna duit kemenangan ini untuk bawa keluarga keluar makan tetapi secara tidak langsung, saya boleh buktikan ‘main telefon’ mampu bawa hasil.
Magis nama anak sulung Sumayyah Arisha
MESKIPUN tidak meletakkan sebarang harapan untuk mengutip mata tertinggi pada minggu ke-13, namun tuah nyata menjadi milik Adzhar Miseran apabila dia merangkul dua kemenangan pada saingan Liga Fantasi Kosmo!.
Adzhar mengakui dia memberi fokus pada hadiah utama ditawarkan Kosmo!, sekali gus berhati-hati setiap kali melakukan pertukaran pemain pada setiap minggu.
“Sebenarnya, jika diikutkan strategi memang tidak menjadi, namun kehadiran Miguel Almiron (Newcastle) dan Timothy Castagne (Leicester City) membantu meraih mata tertinggi.
“Sudah semestinya fokus saya adalah untuk memburu keseluruhan dan muncul Top 5 ini adalah satu bonus buat saya.
“Mungkin ini adalah rezeki anak saya dan nama pasukan saya juga sempena nama anak sulung saya iaitu Sumayyah Arisha,” katanya. – KOSMO! ONLINE