TAMPIN – Seorang pekerja swasta didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tampin di sini, atas pertuduhan pilihan membantu kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long.
Tertuduh, T. Thanesh, 29, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh telah didapati membantu menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen di sebuah rumah di Taman Gunung Mas, Tampin, pada 25 Ogos lalu, kira-kira pukul 10 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa yang sama dengan pertuduhan, hasil pemeriksaan polis dalam serbuan serta pemeriksaan di dalam ruang bilik tidur tertuduh telah menemui tujuh keping kad ATM atas nama penama berbeza dipercayai milik peminjam wang.
Turut ditemui sebuah buku tertera senarai nama peminjam, sebuah kalkulator, satu ‘stamp pad’, sebuah buku tertera kata laluan kad-kad ATM bank peminjam, wang tunai RM200 serta resit pengeluaran.
Selain itu, turut ditemui tujuh fail mempunyai borang jadual perjanjian pemberian pinjaman wang, sebuah buku baucar tunai serta dua telefon bimbit berbeza jenama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – KOSMO! ONLINE