PETALING JAYA – Minuman isotonik yang sering dikaitkan sebagai rawatan terbaik untuk melegakan demam adalah mitos semata-mata.
Malah, pengambilan minuman yang mengandungi gula tinggi itu memberi kesan buruk terhadap kesihatan diri.
Penasihat dan Pengasas Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Ahmad Firdaus semalam mendedahkan, ramai pesakit dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah ‘Hyperglycaemic Crisis’ iaitu kandungan gula terlalu tinggi dalam badan sehingga mengakibatkan komplikasi.
“Demam sikit, minum air isotonik. Aku dah minum air isotonik sebotol, sekarang baru rasa lega sikit,” itulah antara senario pengguna yang dikongsikan kumpulan Facebook tersebut.
Jelasnya, ada juga individu yang mengamalkan minuman isotonik setiap hari untuk mencegah daripada demam.
“Ini dah terpesong jauh dah. Ramai pula beritahu ini benda yang mereka amalkan apabila demam.
“Dekat rumah dah ada stok berbotol-botol air isotonik. Berlari dan bersukan pun tak, teguk air isotonik macam masuk ‘Iron Man’,” ujarnya.
Menurut Dr. Ahmad Firdaus, jika demam, tidak perlu mengambil minuman isotonik kerana ia bukanlah ubat untuk menyembuhkan penyakit tersebut.
“Jika ada dehidrasi atau badan kurang air disebabkan cirit-birit dan muntah, cari ‘Oral Rehydration Salt’. Seeloknya dapatkan dahulu nasihat doktor.
“Jika ada ‘glucometer’ bagi tujuan ‘Self Monitoring of Blood Glucose (SMBG)’, semak dahulu paras gula dalam darah. Gula yang terlalu tinggi juga boleh ada gejala muntah, loya dan badan lesu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE