LOS ANGELES, CALIFORNIA – Seorang atlet paralimpik dari California yang dilahirkan tanpa kaki, memecah Guinness World Records bagi kategori lompatan kotak tertinggi menggunakan tangan dan melakukan senaman tekan tubi berlian dalam masa tiga minit.
Menurut agensi berita United Press International, Zion Clark mencipta rekod itu pada 13 Oktober lalu di sebuah gimnasium di Los Angeles.
Dia pada awalnya membuat cubaan melompat ke atas kotak setinggi 60.9 sentimeter (sm) dan berjaya menyelesaikan misi tersebut dengan mudah.
Ketinggian kotak itu kemudian dinaikkan kepada 76.2 sm sebelum Clark berjaya mencatat rekod tertinggi pada 83.82 sm.
Selepas menyempurnakan rekod pertama, Clark melakukan senaman tekan tubi berlian iaitu varian senaman melibatkan tangan yang diletakkan bersama dalam bentuk berlian dan bukannya pada kelebaran bahu.
Cubaan pertama memecah rekod itu gagal dilakukan, namun ketika percubaan kedua, Clark berjaya mencatatkan rekod 248 kali tekan tubi dalam masa 3 minit.
“Tekan tubi merupakan sejenis permainan yang menggunakan kekuatan minda,” katanya.
Clark dilahirkan dalam keadaan tidak berkaki disebabkan sindrom regresi ekor, sejenis keadaan jarang berlaku berpunca daripada perkembangan abnormal pada bahagian bawah tulang belakang. – Agensi