fbpx

Lelaki didakwa tawar pelaburan ‘Vanguard’ tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shawn didakwa di atas pertuduhan menipu dengan menawarkan pelaburan tidak wujud. - Foto MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dengan menawarkan skim pelaburan ‘Vanguard’ yang tidak wujud tahun lalu.

Tertuduh, Shawn Lee Kim Boon, 33 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama terlibat dengan satu pakat jahat jenayah dengan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menipu dengan memperdaya melalui aplikasi WhatsApp.

Tertuduh telah menyatakan bahawa skim pelaburan ‘Vanguard Investment’ wujud dan mendorong mangsa memasukkan wang pelaburan ke dalam skim berkenaan yang mana ia bertentangan dengan Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Residensi Aster Pusat Si Mesa Putra di Nilai lebih kurang 10 malam, 13 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Alvin Tan yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Isterinya terpaksa bekerja selepas suami ditahan dan mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun 10 bulan.

“Selain itu, tertuduh juga menjaga ibunya berusia 65 tahun yang menghidap strok dan dua hari lalu dia terjatuh dan mengalami bengkak di kaki,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 11 November ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI