AMPANG JAYA – Seorang lelaki dipercayai melakukan kegiatan mencuri bateri kenderaan dengan menyasarkan kereta lama yang diletakkan di tepi jalan.
Suspek yang juga seorang penganggur berusia 45 tahun kemudian menjual semula bateri tersebut bagi mendapatkan wang.
Bagaimanapun, suspek tersebut berjaya ditahan polis selepas disyaki mencuri bateri kenderaan Perodua Kancil milik seorang warga emas sehingga kerugian sebanyak RM180.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa pada Selasa lalu.
Katanya, mangsa lelaki tempatan berusia 72 tahun mendapati kereta Perodua Kancil diletakkan di tepi Jalan Pandan Bistari 5 Cheras Baru, telah dicuri bateri kenderaannya selepas dia gagal menghidupkan kereta itu.
“Hasil laporan yang dibuat, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ampang Jaya menangkap suspek di Taman Bukit Permai, Kuala Lumpur pukul 10.30 malam hari yang sama.
“Suspek yang tidak bekerja disyaki terlibat dalam kes kecurian bateri kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semakan terhadap tangkapan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau jenayah dan ujian air kencing negatif dadah.
Jelas Mohamad Farouk, polis turut merampas barang suspek yang gunakan semasa kejadian antaranya beberapa spanar, pakaian, bateri kereta dan sebuah kereta Proton Saga disyaki digunakan semasa kejadian.
”Kes disiasat di bawah Seksyen 379(1) Kanun keseksaan dan suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini. – KOSMO! ONLINE.