fbpx

Direnjat elektrik jika gagal dapat pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEKUMPULAN enam mangsa penipuan pekerjaan yang selamat tiba dari Phnom Penh di Terminal KLIA2, Sepang semalam. – AMREE AHMAD

SEPANG – Impian enam lelaki tempatan untuk bekerja sebagai petugas kasino di bandar pe­ranginan terkenal Sihanoukville di Kemboja dengan gaji lumayan bukan sahaja tidak tercapai, malah mereka diseksa oleh sindiket penipuan pekerjaan.

Mimpi ngeri itu bermula apabila mereka yang dipaksa menjadi scammer telah dikurung dan dikenakan renjatan elektrik jika gagal mencari pelanggan baharu.

Penderitaan itu akhirnya terbongkar selepas mangsa yang melalui azab selama tujuh bulan itu berjaya meloloskan diri de­ngan bantuan pasukan Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) baru-baru ini.

Seorang mangsa yang ingin dikenali Adan berkata, mereka dipaksa sindiket terbabit untuk bekerja selama 12 jam sehari dan ada juga bekerja sehingga 18 jam tanpa rehat dengan dipantau ketat oleh ramai pengawal bersenjata sepanjang masa.

Adan, 36, yang berasal dari Sabah memberitahu, pada mulanya mereka dijanjikan akan bekerja di kasino di Sihanoukville.

“Bagaimanapun, apabila tiba di sana, kami dipaksa untuk menipu individu di seluruh dunia terutama Malaysia.

“Kami dipaksa memperdayakan mangsa menerusi panggilan, aplikasi WhatsApp dan media sosial lain,” katanya kepada pemberita selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini semalam.

Kumpulan enam rakyat Malaysia yang berasal dari Sabah dan Sarawak itu selamat tiba dengan menaiki pesawat AirAsia dari Phnom Penh.

Mengulas lanjut, Adan berkata, dia dan rakan-rakannya seramai 20 orang ditempatkan di tingkat lima sebuah bangunan setinggi tujuh tingkat.

Katanya, tugas mereka hanya berada di depan komputer ma­sing-masing untuk berhubung de­ngan ‘pe­langgan’ bagi menarik minat mereka mela­bur saham dan berjudi.

Malah, katanya, mereka turut memikat pelanggan wanita untuk dijadikan ‘kekasih’ sebelum ‘merompak’ wang mangsa.

Justeru, dia yang ‘berpe­ngalaman’ luas dalam memperdayakan mangsa menasihatkan masyarakat agar elak menekan sebarang pautan tidak dikenali di peranti atau telefon pintar.

“Pautan ini adalah perangkap yang direka khas oleh pakar teknologi maklumat sindiket terbabit bagi ‘menyedut’ duit daripada akaun bank mangsa tanpa sedar,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman ketika berjaya meloloskan diri, Adan berkata, mereka keluar secara senyap dari sebuah hotel yang dijadikan transit kerana markas operasi sindiket terbabit sedang diubah suai.

Bagaimanapun, dia terkilan apabila puluhan lagi mangsa dari Malaysia gagal me­larikan diri dan bimbang mereka akan diseksa selepas ini.

Pada 20 September lalu, Kosmo! melaporkan, kira-kira 170 rakyat Malaysia kini terperangkap di Myanmar, Laos dan Kemboja selepas menjadi mangsa kepada sindiket penipuan pekerjaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI