PETALING JAYA – Beberapa daerah di tiga negeri mengalami gangguan bekalan gula sejak beberapa bulan lalu sehingga menjejaskan peniaga yang banyak menggunakan bahan kawalan itu.
Gangguan bekalan gula ini dipercayai berlaku hampir 50 peratus dan ada beberapa kawasan mengalami bekalan lambat sampai.
Di Sungai Petani, Kedah, bekalan gula di daerah Kuala Muda dikatakan berkurangan sebanyak 50 peratus sejak tiga bulan lalu.
Seorang pemborong yang juga pemilik syarikat AA Teguh Sdn. Bhd. di sini, Muhammad Faris Abidin berkata, bekalan gula pasir di kedainya masih ada, namun pihak pembekal telah mengurangkan bekalan gula tersebut sebanyak 50 peratus berbanding kebiasaannya.
“Biasanya kami akan tambah bekalan gula sebanyak kira-kira 2,400 peket setiap minggu tetapi kini pembekal hanya akan hantar 1,200 peket sahaja untuk seminggu.
“Disebabkan itu, kita juga terpaksa hadkan kuantiti jualan gula kepada peruncit,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, pihak pembekal memaklumkan bahawa pengurangan bekalan adalah disebabkan masalah kerosakan mesin yang dialami di kilang.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, gangguan bekalan gula di bandar raya ini tidak ketara kerana melibatkan satu jenama sahaja.
Seorang pemborong, Fatimah Yahaya, 44, berkata, hanya gula pasir sukar didapati, namun kekurangannya itu diatasi oleh gula jenama lain.
Dia berkata, kekurangan bekalan gula berlaku beberapa hari lalu, namun telah selesai apabila pembekal gula jenama lain mula kembali menghantar 200 kilogram kelmarin.
“Saya kini tidak menghadapi masalah membekalkan gula kepada pelanggan termasuk dalam kalangan peniaga makanan dan pengusaha kedai runcit di sekitar bandar raya ini,” ujarnya.
Di Padang Besar, Perlis pula, bekalan gula di negeri ini masih cukup, namun terdapat isu kelewatan penghantaran barang keperluan itu daripada pemborong.
Seorang pengusaha kedai runcit, Firdaus Wahab, 18, berkata, pembeli masih boleh mendapatkan bekalan gula, namun terdapat kelewatan penghantaran daripada pemborong.
“Buat masa ini, bekalan gula masih ada, namun sekiranya stok tersebut habis, ada kalanya kami mengalami kelewatan mendapatkan barangan itu.
“Tempoh paling lama pembekal mengambil masa menghantar bekalan gula selepas pesanan dibuat adalah seminggu,” katanya ketika ditemui di kedainya di Semadong, di sini semalam.