PETALING JAYA – Sebelum ini telah tular di TikTok memaparkan seorang ibu mengalami kesan lebam di bahagian lengan dan tangan yang telah mencuri perhatian ramai netizen khususnya kaum ibu.
Sejurus video itu tular, pelbagai spekulasi telah timbul dan terdapat netizen yang berpendapat perkara itu berkait dengan perkara mistik dan ghaib.
Rentetan daripada itu, seorang doktor yang dikenali dengan nama Dr. Wan telah tampil menjelaskan bahawa video yang tular tentang seorang ibu mengalami kesan lebam itu adalah disebabkan uri terlekat di rahim bukannya kesan digigit jin ataupun perkara mistik lain.
Doktor tersebut menerangkan secara ringkas tentang apa yang dimaksudkan dengan uri melekat di rahim dan bagaimana perkara sebegini boleh berlaku untuk mengedukasi para netizen yang mungkin belum tahu tentang hal sebegini.
“Rahim perempuan mempunyai tiga lapisan iaitu Endometrium (lapisan paling luar), Myometrium (bahagian tengah) dan Perimetrium (bahagian paling luar). Selalunya uri akan melekat pada kawasan luar sahaja iaitu kawasan Endometrium.
“Berbeza dengan kes wanita yang tular tersebut, urinya mungkin melekat lebih dalam bukan setakat endometrium tetapi sehingga masuk di bahagian ‘muscle’ myometrium serta ada kes yang terkeluar dari perimetrium,” jelas doktor tersebut.
Tambah doktor itu lagi, jika uri sudah melekat di bahagian yang tidak sepatutnya, ianya akan menyulitkan proses menarik uri tersebut untuk keluar.
“Jadi, dalam kes ini, uri bayi akan berakar dan mencengkam dengan lebih dalam yang menyebabkan uri tersebut susah ditarik sekaligus membawa kepada berlakunya pendarahan yang teruk dan boleh menyebabkan kematian.
“Uri yang terlekat akan menyebabkan platelet dalam darah turun disebabkan ‘disseminated intravascular coagulation pregnancy’,” jelas beliau.
Setakat ini, rakaman video penerangan doktor tentang isu terswbut telah meraih lebih 600,000 tontonan dengan lebih 1,000 perkongsian dan hampir 40,000 tanda suka. Rata-rata netizen terutamanya kaum ibu turut berkongsi pengalaman yang hampir sama.
“Saya antara salah seorang ibu yang kena seluk tarik sebab placenta tidak mahu keluar, sakit sangat. Beranak tiga kali teran tak sempat nak sakit tapi bila kena seluk meraung gila-gila,” komen seorang netizen.
“Saya pun sama uri melekat, sehabis baik doktor keluarkan dalam masa dua jam, saya tak nak dah masuk bilik operasi, ngeri,” kongsi seorang netizen lagi.
“Macam situasi kakak saya, baru semalam bersalin tapi kena buang rahim sebab uri melekat terus dekat rahim dan banyak pendarahan, sampai sekarang masih tak sedarkan diri,” kongsi netizen yang lainnya. – KOSMO! ONLINE