MADRID – Pasukan Atletico Madrid menjadi kelab La Liga yang ketiga tersingkir pada peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini selepas terikat 2-2 ketika bertemu Bayer Leverkusen di Wanda Metropolitano awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Atletico tidak berjaya meraih kemenangan selepas pemain sayap, Yannick Carrasco gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan yang mampu menghidupkan peluang pasukan untuk mara ke peringkat 16 terbaik.
Keputusan seri yang diraih skuad Los Rojiblancos dan Leverkusen menyaksikan kedua-dua pasukan terkandas di peringkat kumpulan selepas Porto merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Brugge pada awal pagi semalam.
Kata Simeone, saingan Liga Juara-Juara sememangnya memberi kenangan pahit sejak menjadi pembimbing kelab Atletico dan kini barisan pemain perlu fokus untuk merebut tempat dalam saingan Liga Europa nanti.
“Pengalaman dalam saingan Liga Juara-Juara cukup perit kerana kami turut tewas dua kali (edisi 2014 dan 2016) di pentas final dan kini ia berulang lagi. Namun, saya mahu kekal positif kerana cabaran pasukan masih belum berakhir dan satu lagi perlawanan perlu ditempuh.
“Cuma, saya sedikit ralat kerana kita berupaya meraih kemenangan ke atas Leverkusen, tetapi peluang terbaik pasukan hadir pada masa kecederaan, tetapi penalti tersebut gagal disudahkan oleh Carrasco,” katanya.
Kelmarin, Sevilla juga tersingkir biarpun berjaya meraih kemenangan 3-0 ke atas FC Copenhagen selain Barcelona juga menerima nasib yang sama sekali gus meninggalkan Real Madrid untuk meneruskan perjuangan. – AGENSI