BEIJING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di wilayah Shandong, China menjadi popular apabila video memaparkan dia ‘mencuci’ komputer riba jenama Apple Macbook tular di media sosial, lapor akhbar South China Morning Post semalam.
Kanak-kanak bernama Duomi itu berniat membantu bapanya apabila terdengar rungutan semasa menikmati sarapan pagi bahawa komputer riba itu memiliki banyak ‘kotoran’.
Menurut ibunya yang merakam kejadian tersebut, dia menyedari perbuatan Duomi apabila kanak-kanak itu tiada di bilik untuk tidur petang.
“Apabila saya membuka pintu tandas, jantung saya hampir berhenti melihat dia merendam Macbook di dalam baldi yang dipenuhi air sambil memicit sabun dan menyental permukaan gajet itu.
“Duomi memberitahu dia mahu membersihkan Macbook itu kerana bapanya memberitahu terdapat banyak kotoran di dalamnya,”jelas ibunya.
Tambah wanita itu, pada mulanya dia mahu memarahi Duomi namun membatalkan niat tersebut kerana sedar anak bongsunya itu tidak tahu apa yang dilakukannya salah serta memiliki tujuan murni meskipun caranya salah.
“Suami saya membeli Macbook itu tiga tahun lepas dengan harga AS$1,200 (RM5,665).
“Ia masih tidak boleh digunakan selepas beberapa hari dibiarkan kering,” ujarnya.
Video tersebut telah berjaya meraih jumlah tontonan sehingga 100 juta kali di platform Weibo. – Agensi