PEKAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah supaya menyegerakan kerja-kerja menyiapkan rumah terbabit.
Titah baginda, ia bagi membolehkan rumah tersebut dapat diserahkan kepada penerima sebelum tiba Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negara pertengahan November ini.
“Harap pihak kontraktor dapat mempercepatkan walau terpaksa bekerja dalam hujan supaya mereka (penerima) dapat berpindah secepat mungkin.
“Lakukan dengan sempurna dan bukan substandard dalam usaha menyiapkan kerja terbabit,” titah baginda ketika mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Kampung Temai Hulu, di sini, hari ini.
Kerajaan UAE menyumbangkan dana berjumlah RM12.75 juta dalam usaha membantu kerajaan Pahang menangani masalah banjir buruk setiap kali tiba musim tengkujuh melalui pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah.
Sebanyak 123 buah rumah rakyat itu dibina di beberapa kawasan membabitkan tujuh buah daerah iaitu Pekan, Pekan, Lipis, Jerantut, Raub, Maran, Temerloh dan Bentong.
“Harap penerima mengambil serius tentang moratorium yang ditetapkan. Jangan fikir soal jual dan lepas tangan. Kalau boleh biar rumah ini (dihuni) sampai ke anak cucu.
“Harap kawasan rumah baharu ini tidak akan ditenggelami banjir pada masa akan datang dan kepada penerima terus bersyukur dan berdoa agar tidak menghadapi banjir,” titah baginda.
Sementara itu seorang penerima, Mohd Sidek Mohd Saleh, 36, melahirkan rasa syukur atas penerimaan rumah terbabit sekali gus menyelesaikan masalah banjir yang sering dihadapinya lebih 10 tahun lalu.
“Setiap tahun rumah saya dinaiki air dan setiap kali itu juga saya terpaksa mengeluarkan banyak duit untuk membaik pulih rumah yang rosak akibat banjir.
“Boleh kata tiap-tiap tahun saya dan isteri serta empat anak kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir. Harap lepas ini kami tak perlu berpindah lagi,” katanya.
Seorang lagi penerima, Zainal Lela, 55, berkata, dia menetap di Kampung Temai Hulu sejak 33 tahun lalu dan boleh dikatakan setiap tahun rumahnya akan dinaiki air setinggi kira-kira 2.5 meter.
“Seingat saya selama duduk sini, mungkin dua tahun sahaja bila berlaku banjir kami tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan. Kalau tidak, setiap tahun pindah.
“Harap bila duduk rumah baharu ini, kami tidak lagi ditimpa musibah sama yang menyebabkan kami terpaksa berhadapan dengan kerugian akibat kerosakan. Saya merasa lega dan bersyukur terpilih menerima rumah ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE