fbpx

Dua jam pindah 133 penumpang feri terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang feri yang terkandas pada petang tadi dipindahkan ke Terminal Feri Kuala Kedah menggunakan bot APMM dan nelayan.

ALOR SETAR – Kesemua 133 penumpang feri yang terkandas di muara Kuala Kedah, di sini berjaya dibawa ke Terminal Feri Kuala Kedah pada pukul 6.30 petang tadi.

Penumpang dipindahkan secara berperingkat menggunakan bot Perkasa 1224 milik Maritim Malaysia (APMM) dengan dibantu beberapa bot nelayan.

Feri dalam perjalanan ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi itu terkandas dipercayai akibat tersangkut pada kabel boya kapal pengerukan kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima panggilan berhubung kejadian daripada Jabatan Laut (JLM).

“JLM memaklumkan sebuah feri Starcity Express 6 yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi telah terkandas pada pukul 4.30 petang tadi di posisi 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah

“Bot Perkasa 1224 kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan dalam usaha membantu pihak feri dan JLM sebelum paras air laut mulai surut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, feri tersebut cuba ditunda balik oleh bot tunda milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah tetapi feri telah terkeluar dari laluan lalu tersangkut pada beting lumpur.

“Seterusnya seramai 133 penumpang termasuk kanak-kanak berjaya dibawa keluar menggunakan bot Perkasa dengan dibantu beberapa bot nelayan,” ujarnya.

Tambahnya, operasi menyelamat yang dikoordinasikan oleh Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi ditamatkan pada pukul 6.30 petang setelah kesemua penumpang berjaya dibawa ke terminal feri.

“Semua penumpang dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI