BANGKOK – Kerajaan Thailand mengumumkan langkah membenarkan warga asing untuk membeli rumah dan tanah di negara itu sekiranya memenuhi beberapa syarat ditetapkan, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Menerusi syarat utama, warga asing layak membeli rumah dan tanah sekiranya mereka melabur sekurang-kurangnya 40 juta baht (RM4.9 juta) di Thailand dan boleh mengekalkan pelaburan itu dalam tempoh tiga tahun.
Tanah yang dibeli pula tidak boleh lebih besar daripada 1,600 meter persegi di bawah Seksyen 63 Akta Tanah.
Warga asing yang memohon untuk membeli tanah atau rumah mesti menunjukkan bukti pelaburan dengan kebenaran diberikan untuk membeli rumah, tanah, atau kedua-duanya di Bangkok, Pattaya, atau kawasan kediaman lain di bawah undang-undang perancangan bandar Thailand.
Tanah atau rumah yang dibeli pula mesti digunakan untuk kegunaan peribadi dan tidak boleh melanggar akhlak, adat atau cara hidup dalam masyarakat setempat.
Bagi memohon untuk membeli rumah atau tanah, warga asing perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Jabatan Tanah yang kemudiannya akan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri.
Setelah permohonan diluluskan, pelabur mesti memaklumkan kepada jabatan tanah tempatan dalam tempoh 60 hari.
Undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa sebulan selepas ia diterbitkan dalam Warta Diraja tidak lama lagi dan inisiatif tersebut berkuat kuasa selama lima tahun.
Cadangan itu dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Thailand. – Agensi