KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas buat mana-mana parti politik yang mengubah suai kenderaan untuk berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, sebarang ubah suai pada kenderaan selain ditetapkan Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) untuk kenderaan komersial akan diambil tindakan.
“Tidak ada ‘lesen besar’ untuk mana-mana parti membuat ubah suai kepada kenderaan mereka pada musim PRU ini.
“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) iaitu salah guna permit dan melakukan modifikasi kenderaan,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan Op Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini malam ini.
Dalam pada itu, JPJ turut menjangkakan peningkatan aliran trafik menjelang hari pengundian pada 19 November depan dan menyeru pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Jelas Zailani, pihaknya tidak mahu timbul sebarang isu apabila ada penguatkuasaan yang menggangu gugat kelancaran lalu lintas sempena PRU kali ini. -KOSMO! ONLINE.