fbpx

PRU15: Warga Felda terus setia, jadi deposit tetap BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (tengah) melancarkan buku Menempa Kejayaan pada majlis Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di Felda Mayam di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, warga Felda begitu setia kepada kerajaan sekali gus terus menjadi deposit tetap kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, walaupun berlaku tsunami politik disebabkan isu tertentu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 namun masih ramai peneroka terus menyokong kerajaan BN.

“Saya harap (warga Felda) terus kekal menjadi penyokong setia kepada kerajaan BN bagi memastikan BN memerintah semula dengan majoriti.

“Saya beri jaminan apabila kita menang besar, kuasai Putrajaya, politik stabil, ekonomi bertambah baik, yang untung adalah tuan puan selaku rakyat,” katanya pada majlis Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di Felda Mayam, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan anugerah kepada warga Felda serta melancarkan buku Menempa Kejayaan mengenai kegemilangan Felda.

Menurut Ismail Sabri, dalam memilih kerajaan pengundi harus memilih kerajaan yang terbukti mampu membantu rakyat sepertimana BN yang telah membangunkan negara sejak dahulu.

Katanya, selain memilih kerajaan yang diperintah oleh BN kerajaan negeri juga harus selari daripada BN bagi memastikan segala program dapat dilakukan dengan baik dan lancar.

Beliau berkata, rakyat harus melihat kembali pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang banyak menyekat program-program yang memberikan faedah kepada rakyat seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sebagainya.

Malah katanya, kerajaan PH juga telah memotong banyak bantuan yang diberikan kepada rakyat seperti insentif kepada nelayan dan petani serta peruntukan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Kalau tuan hendak buat perbandingan ialah satu merupakan kerajaan yang memberi keutamaan kepada rakyat dan satu lagi (kerajaan) yang tidak menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Felda yang pernah berada di puncak kegemilangan tetapi terpaksa menempuh pelbagai ujian berada pada landasan yang betul untuk menempa pelbagai kejayaan.

Ujarnya, berkat sokongan daripada kerajaan dan berkat usaha pengurusan Felda, pelan pemulihan Felda telah menunjukkan hasil,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI