BERA – Tiada pencapaian yang boleh dibanggakan Pakatan Harapan (PH) sepanjang pemerintahan 22 bulan, berbanding pencapaian yang telah dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,, PH hanya pandai berjanji tetapi tidak pandai menunaikan setiap janji.
“Mereka cakap, kalau mereka memerintah, harga minyak (petrol) akan turun, tapi tiada pun. Hanya tinggal janji sahaja. Begitu juga harga sawit yang merundum semasa pemerintahan PH, sehingga jatuh mencecah pada harga serendah RM200 per tan.
“Berbanding dengan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harga sawit berjaya dipulihkan sehingga mencecah lebih RM1,000 per tan beberapa bulan yang lepas, dan kini, harga sawit masih pada paras yang selesa iaitu antara RM600 hingga RM700 per tan,” katanya pada Program Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama Perdana Menteri, di Dewan Orang Ramai Felda Mayam, di sini, hari ini.
Katanya, perbezaan harga ini amat jauh berbeza pada zaman PH memerintah selama 22 bulan berbanding pada zaman pemerintahan selama 12 bulan oleh Perdana Menteri.
Jelasnya lagi, inilah rekod pencapaian yang perlu dilihat rakyat sebagai ukuran untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Kita harus mempertahankan Pahang dan kerajaan Persekutuan kerana banyak lagi perkara yang boleh dilakukan sekiranya BN terus memerintah.
“Kita memerlukan kerajaan yang stabil. Tolong beritahu pada anak-anak supaya memilih BN agar dapat kembali memerintah dan meneruskan sasaran kerajaan untuk memakmurkan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.