fbpx

PRU15: Lebih 90 tawaran dalam manifesto BN rangkum semua lapisan masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Zahid (tengah) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) pada majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran dan Pelancaran Jentera BN Pahang di Laman Kerayong di Bera hari ini.

BERA – Barisan Nasional (BN) menyediakan lebih 10 teras dan aku janji untuk rakyat dalam manifesto parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu parti itu akan menawarkan lebih 90 tawaran untuk dinikmati pelbagai lapisan masyarakat daripada kumpulan minoriti sehingga yang majoriti.

“Manifesto kita ini akan merangkumi segenap lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran dan Pelancaran Jentera BN Pahang di Laman Kerayong di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat kini merindui BN untuk kembali dominan selepas kesengsaraan selama 39 bulan dialami mereka.

“Analisis telah mereka lakukan, kerajaan 22 bulan jelas tidak dapat menunaikan janji mereka, kerajaan 17 bulan juga tidak dapat memperbaiki kesilapan kerajaan 22 bulan.

“Jadi, 39 bulan rakyat sengsara, maka Allah SWT mentakdirkan kita mempunyai seorang Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dari BN yang berjaya menyelamatkan negara,” katanya.

Beliau berkata, dalam PRU15 ini, seluruh jentera BN perlu bekerja kuat untuk memastikan parti itu mampu memperoleh kemenangan seperti mana PRU ke-11, 12 dan ke-13.

“Kita dapat dua pertiga majoriti ketika PRU-11, waktu itu suara pembangkang hanya suara kerdil, pencapaian seperti ini yang kita mahu capai pada PRU-15 kali ini bagi mewujudkan suasana demokratik dalam negara,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Himpunan Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran penting untuk ahli BN mewujudkan optik bahawa parti ini dan kerajaan berpisah tiada dan seiring bersama Perdana Menteri.

“Permuafakatan antara kita penting, tanpanya mustahil untuk kita mempertahankan kerusi-kerusi yang kita menang, mustahil untuk rampas kerusi yang kita tewas dan mustahil kita rebut kerusi yang kita berpotensi menang pada PRU-15 ini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI