KUALA NERANG – Senarai nama individu dikatakan akan diangkat menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang tular di media sosial tidak sepatutnya dilayan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penularan senarai tersebut adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam setiap PRU dengan tujuan tertentu.
“Senarai itu macam satu ramalan tetapi kadang-kadang yang buat senarai itu pun pandai juga, sengaja dia letakkan nama orang lain.
“Kadang-kadang sengaja dibuat begitu dengan tujuan tertentu untuk kacau jiwa, jadi orang yang tak ada dalam senarai itu, dia melompatlah,” katanya selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur di Kolej Mara Kuala Nerang di sini, hari ini.
Tambahnya, semua pihak tidak seharusnya memberi reaksi berlebihan terhadap senarai yang tular itu memandangkan perkara tersebut akan diselesaikan tidak lama lagi.
“Tak lama dah nak tunggu senarai yang sebenar keluar. Paling lama pun dalam tiga atau empat hari lagi sebab 5 November merupakan hari penamaan calon.
“Paling lama perlu tunggu pun mungkin sampai 31 Oktober atau 1 November sahaja. Tak payah layan senarai tular itu sebaliknya apabila dah diumumkan nanti, itulah calon sebenar dan tak perlulah kita lebih laju daripada lajak,” katanya. – KOSMO! ONLINE