PUTRAJAYA – Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengumumkan tujuh lagi calon bagi kerusi Parlimen yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain dirinya yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi, nama lain termasuk Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau yang juga Pengerusi Pejuang berkata, Mukhriz bakal mempertahankan kerusi Jerlun selain Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang) dan Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah).
“Calon lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar (Hulu Selangor); ADUN Jeram, Mohd. Shaid Rosli (Kuala Selangor) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, setakat ini GTA sudah memuktamadkan 100 kerusi Parlimen kecuali Johor dan Sabah namun jika dua negeri itu selesai maka jumlahnya akan melebihi 120 kerusi.
Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan mengumumkan senarai penuh calon Parlimen pada 2 November ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa rundingan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) masih berjalan disebabkan beberapa masalah.
“Rundingan dengan PN adalah bagi memastikan tiada kerusi bertindih antara calon Pejuang dan PN.
“Buat masa ini, rundingan kerusi itu membabitkan tiga wakil daripada GTA termasuk saya, Mukhriz dan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya manakala, PN pula diwakili Bendahari PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya.
Katanya, rundingan dan perbincangan itu bagaimanapun tidak membabitkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr. Mahathir berkata, pihaknya memberi masa dua hari untuk menyelesaikan rundingan itu sebelum senarai penuh calon GTA diumumkan pada 2 November ini.
Ditanya sama ada GTA akan mencalonkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada PRU15 ini, Mukhriz pada sidang akhbar sama dengan ringkas berkata: “Tunggu dan lihat.-KOSMO! ONLINE