KUALA NERUS – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu akur hanya diberikan satu kerusi sahaja untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, kepimpinan Perikatan Nasional (PN) telah memutuskan hanya satu kerusi ditandingi parti itu di Terengganu berbanding dua yang dipohon.
“Kita (Bersatu Terengganu) minta untuk bertanding di Hulu Terengganu dan Besut namun hanya diberi Hulu Terengganu.
“Tidak mengapa lah. Difahamkan sebagai kontra, Bersatu diberi ganti sama ada kerusi Parlimen di Perak atau Johor,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Rosol yang juga penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu mengesahkan calon Bersatu Terengganu hampir pasti akan menggunakan simbol rasmi Pas iaitu bulan pada PRU15 ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu memberitahu, berdasarkan persetujuan awal, semua calon PN termasuk Bersatu di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan simbol bulan.
“Setakat ini masih belum dimuktamadkan lagi. Apa pun, sebarang keputusan kepimpinan tertinggi PN nanti, kita di negeri-negeri ini akan ikut sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE