KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bakal dipertaruhkan sebagai calon Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu bersedia menghantar ‘panglima’ Selangor untuk bertanding di kerusi tersebut.
Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan perkara itu sudah dibincangkan dengan Amirudin yang bersedia berdepan penyandang Parlimen itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Amir (Amirudin) memberitahu saya bahawa beliau adalah cicak mengkarung dan mampu (menang). Insya-Allah.
“Ini bukan pengumuman rasmi kerana ia akan dibuat pada 28 Oktober ini, (tetapi) saya sudah bocor soalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Mega Harapan dan Pelancaran Jentera PRU15 PH Selangor di Padang Dewan Kampung Assam Jawa di sini, malam tadi.
Jelas Anwar, rakyat seharusnya menolak pemimpin khianat dan perasuah pada PRU15 lalu. -KOSMO!ONLINE