fbpx

Piala Malaysia: Terengganu selangkah ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TFC selangkah ke aksi suku akhir selepas meraih bekalan dengan menewaskan Sri Pahang sebentar tadi. - Foto ihsan Sri Pahang

PETALING JAYA – Finalis Piala FA, Terengganu FC (TFC) meraih bekalan selesa selepas merekodkan kemenangan 5-1 ke atas skuad Sri Pahang pada aksi pusingan pertama 16 terbaik saingan Piala Malaysia sebentar tadi.

Pada perlawanan derbi ‘Pantai Timur’ di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu, skuad TFC kendalian Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan trio serangan berbisa, Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Faisal Halim.

Pasukan pelawat hanya memerlukan 50 saat untuk menjaringkan gol pembukaan menerusi Sherman yang bijak memperdayakan pertahanan skuad Tok Gajah.

Pasukan kendalian Datuk Dollah Salleh itu sekali lagi dirobek pada awal saingan dan kini giliran Nik Sharif mencetak gol selaku penjaring selepas menyudahkan hantaran Faisal berselang tiga minit kemudian.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi giliran tuan rumah menjaringkan gol menerusi ledakan Steven Rodriguez pada minit ke-43 untuk merapatkan kedudukan sebelum berakhir babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, skuad Sang Penyu sekali lagi bermula garang dengan Faisal meledak gol ketiga selepas menerima hantaran Kipre pada minit ke-49.

Sherman meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-52 sebelum melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-90 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya skuad pelawat.

Aksi pusingan kedua 16 terbaik melibatkan kedua-dua pasukan di Terengganu pada 1 November depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI