fbpx

Penganggur bunuh juruteknologi pergigian dihukum gantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Malik Rosdi dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh juruteknologi pergigian pada keputusan kes di Mahkamah Tinggi Seremban di sini. FOTO: NOR SHAFAWATI YUP.

SEREMBAN – Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang juruteknologi pergigian, empat tahun lalu.

Hakim Azizul Azmi Adnan memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Malik Rosli, 24, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Sebaik hukuman ditetapkan, Abdul Malik kelihatan tenang dan difahamkan tiada ahli keluarga yang hadir disebabkan faktor kemiskinan.

Azizul Azmi dalam penghakimannya menegaskan mahkamah tidak memberikan budi bicara memandangkan tiada hukuman lain dalam kesalahan membunuh itu kecuali hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly berhujah, dalam membuat keputusan mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

Justeru Husni Fairos berkata, hukuman berat perlu dikenakan terhadap tertuduh sebagai amaran dan pengajarannya kepadanya dan orang lain.

“Kesalahan dilakukan Orang Kena Tuduh (OKT) dirancang, malah dia tergamak mengambil barang si mati dan memukulnya dengan peralatan dalam rumah mangsa,” katanya

Sementara itu, peguam Datuk Haniff Hasan yang mewakili tertuduh dalam hujahannya pula berkata, kesalahan yang dilakukan bukan jenayah terancang memandangkan tiada penglibatan sindiket dan tertuduh tidak menerima upah.

“Sebaliknya, ia berlaku akibat tekanan perasaan OKT sehingga menyebabkan dia bertindak di luar batasan sepatutnya.

“Latar belakang tertuduh perlu diambil kira di mana dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik tidak bekerja dan datang daripada keluarga miskin,” katanya.

Haniff berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi merayu terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Pada 12 Februari 2018, media melaporkan tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan membunuh
juruteknologi pergigian.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di sebuah unit di tingkat 4 Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson pada pukul 1.40 pagi, 19 Januari 2018.

Mayat Mahussin ditemui oleh rakannya selepas 72 jam dilaporkan menghilangkan diri dan tidak datang bekerja pada 22 Januari 2018.

Suspek melarikan diri menggunakan motosikal mangsa dan siasatan polis membawa kepada penahanannya di sebuah rumah di Johor Bahru, pada 30 Januari 2018.

Hasil soal siasat polis, suspek mendakwa mengenali mangsa melalui aplikasi WeChat dan dijanjikan pekerjaan menyebabkan dia datang ke rumah mangsa menaiki bas, namun mangsa didakwa tidak menepati janji lalu berlaku pertengkaran sebelum suspek membunuh mangsa. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI