JASIN – Penduduk di Kampung Lanchang, Sungai Rambai dekat sini resah apabila kawasan rumah mereka masih digenangi banjir termenung akibat bah yang melanda sejak 8 Oktober lalu.
Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa meletakkan kenderaan di jalan utama dan menyukarkan anak-anak untuk ke sekolah kerana perlu meredah air di pekarangan rumah.
Tinjauan pemberita di lokasi mendapati, sebanyak lapan buah rumah masih digenangi air dengan ketinggian antara 0.2 hingga 0.4 meter.
Seorang mangsa, Amran Ab. Ghani, 45, berkata, sejak Januari lalu sudah lima kali mereka berdepan banjir termenung manakala kejadian kali ini adalah paling teruk pernah dialami.
“Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa meletakkan kereta dan motosikal di bahu jalan utama kerana laluan ke rumah tidak boleh dilalui.
“Sampai bila kami penduduk di lapan buah rumah harus berdepan dengan masalah banjir termenung ini? Sudah hampir 20 hari halaman rumah digenangi air,” katanya ketika ditemui.
Tambah Amran, aduan telah dibuat kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.
“Masalah masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini dan situasi itu menyebabkan kami mengalami kerugian yang banyak, akibat kerosakan harta benda apabila kawasan ini kerap dilanda banjir.
“Biasanya dua atau empat hari sudah kering tetapi kali ini paling lama,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Awang Umar berkata, sewajarnya pihak berwajib datang berjumpa dengan lapan keluarga yang terjejas untuk membincangkan langkah yang perlu bagi mengatasi masalah tersebut.
“Air termenung kali ini paling lama sejak banjir kilat 8 Oktober lalu, air tidak surut-surut walaupun ada pam menyedut air milik JPS digunakan tetapi tak jadi apa.
“Saya berharap pihak terbabit mencari jalan penyelesaian terbaik agar penduduk tidak lagi berdepan dengan air termenung,” katanya. – KOSMO! ONLINE.