PETALING JAYA – Penyanyi yang juga anggota kumpulan K-Clique, Noki mengakui sudah jarang berkongsi potret tidak berbaju dalam media sosial dek melalui sedikit perubahan fizikal.
Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, 28, berkata, semua itu berpunca daripada kesibukan dan tiada masa untuk melakukan senaman di gimnasium sehingga menyebabkan otot badannya mula mengecil.
“Sekarang sudah lama tak belanja (tayang badan) sebab saya lama tidak ke gim, badan pun dah kecut.
“Saya pula baru pindah rumah, jadi bila dua minggu tak bersenam, rasa tiada semangat nak mula semula,” ujarnya kepasa Kosmo! Onlime.
Mengakui sering menerima mesej lucah gara-gara foto tidak berbaju, Noki berkata, ia tidak pernah menyalahkan individu berkenaan kerana mengakui perkara itu datang daripada tindakannya sendiri.
Bagaimanapun, Noki berkata, dia tidak pernah menyesal atau ralat sebaliknya sentiasa melihat perkongsian itu dari sudut positif.
“Saya terima banyak mesej peribadi di Instagram yang bukan-bukan, lucah dan sebagainya. Tapi saya selalu padam dan tidak melayan pun.
“Saya tak salahkan mereka kerana saya yang buka ruang untuk mereka berani berbuat demikian.
“Biarpun begitu, saya lihat apa yang saya buat itu banyak yang positif, saya dapat banyak peluang pekerjaan kerana berbadan sasa seperti tawaran-tawaran berlakon,” kata selepas pelancaran lagu Pantang di pejabat Warner Music, di sini, semalam.
Berkongsi tentang lagu Pantang nyanyiannya bersama penyanyi Bil Musa, Noki berkata, lagu berkenaan berbeza daripada lagu-lagunya sebelum ini.
“Saya terima projek ini kerana lagu Pantang ada keistimewaan tersendiri. Lagu ini lain sikit tak macam lagu-lagu saya sebelum ni.
“Bekerja dengan Bil pula senang, semuanya berjalan lancar bermula proses rakaman sehingga sekarang tiada masalah,” ujarnya.
Lagu Pantang merupakan hasil ciptaan komposer Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan John Jeeves.