KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang menghalangnya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sebentar tadi berpendapat, bekas Perdana Menteri bukan lagi bergelar Ahli Parlimen Pekan ekoran pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Menurut beliau, isu dalam semakan kehakiman itu tidak lagi boleh diperimbangkan oleh mahkamah kerana tugas beliau sebagai wakil rakyat selesai sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati, permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dipohon oleh Najib kini akademik dan wajar ditolak.
“Sehingga pengampunan diberikan, tidak mungkin pemohon menjadi Ahli Parlimen kerana undang-undang menghalang seorang banduan bertanding dalam pilihan raya,” ujar Hakim Ahmad Kamal.
Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun memohon kebenaran mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara pada 28 September lalu yang menolak permohonannya menghadiri sidang Parlimen atas alasan keselamatan.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 5 Oktober lalu, Najib menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden-responden.
Najib sedang menjalani penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Penjara Kajang dalam kes dana SRC International Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE.