fbpx

MPN komited atasi isu tenaga kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MPN di bawah teraju Tan Sri Muhyiddin Yassin prihatin akan masalah yang dihadapi PMKS masa kini, termasuk dari segi kekurangan tenaga buruh di pasaran.

PETALING JAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) komited untuk mengukuhkan semula ekonomi domestik, antaranya dengan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja terutama dalam industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sejak penubuhannya, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengemukakan pelbagai cadangan kepada kerajaan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan yang menjejaskan produktiviti serta meningkatkan kadar inflasi, yang antaranya dikaitkan dengan isu buruh.

MPN berpandangan langkah segera perlu diambil oleh Kementerian Sumber Manusia untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing yang diperlukan oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang pula, MPN berpendapat penekanan perlu diberi bagi penggunaan teknologi dan automasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Masalah kekurangan tenaga kerja asing turut dibangkitkan Ahli MPN dan bekas Pengerusi Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang.

Menurut beliau, isu yang selalu dibangkitkan pengusaha PMKS adalah masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor seperti sektor perladangan yang dilaporkan mengalami kerugian hampir RM20 bilion pada 2021.

Muhammad Iskandar

Bagi Pengurus Restoran Ana Sup Utara, Muhammad Iskandar Ahmad Shafiei, 29, Pelan Pemulihan Negara (PPN) daripada Covid-19 kini bergerak secara teratur membolehkan prestasi perniagaannya kembali pulih, walaupun masih sedikit perlahan apabila semua sektor ekonomi kembali dibuka.

“Bagaimanapun, sekarang kami ada masalah tenaga kerja. Susah mahu cari ketika ini kerana dahulu kami pakai pekerja tempatan dan apabila bercadang beralih kepada pekerja asing pula, kami bimbang mengenai kos permulaan yang dijangka agak tinggi.

“Saya amat mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh MPN bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja ini secepat mungkin,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Muhammad Iskandar menjelaskan ketika pandemik, perniagaannya langsung tidak dapat beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keadaan itu memaksanya memberhentikan pekerja, malah menjual perkakasan memasak bagi menampung kehidupan.

“Cabaran utama apabila tidak dapat beroperasi ialah tidak mampu membayar gaji pekerja, jadi banyak kakitangan terpaksa diberhentikan.

“Kami juga terpaksa menjual hampir semua barang memasak yang digunakan untuk perusahaan katering kerana tiada pendapatan,” katanya.

Sebagai penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang diberikan kerajaan di bawah teraju Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu, Muhammad Iskandar mengakui ia merupakan penyelamat utama yang banyak meringankan bebannya ketika mengharungi fasa sukar.

“Alhamdulillah, beberapa bulan selepas itu, kami terima bantuan GKP yang pertama berjumlah RM3,000.

“Ia memang sangat membantu dan memadai untuk menampung keperluan pada waktu terdesak,” ujarnya.

Muhammad Shahir

Sementara itu, seorang pengusaha sayur dan juga petani di Kampung Tenai, Gemencheh, Negeri Sembilan, Muhammad Shahir Mazlan, 29, turut mengaku berdepan masalah untuk mencari pekerja bagi membantunya mengusahakan tanaman.

“Sekarang nak cari pekerja sangat susah. Saya harap kerajaan atau pihak berkaitan akan permudahkan urusan mendapatkan pekerja asing.

“Kalau di ladang ni, jarang ada orang tempatan mahu bekerja. Memang kami bergantung kepada pekerja asing terutamanya dari Indonesia ekoran mereka mempunyai kemahiran yang baik,” jelasnya.

Menurut Muhammad Shahir, dia kini terpaksa mengusahakan tanaman seorang diri setelah menghantar pulang dua pekerjanya ke Indonesia akibat kekangan ekonomi sewaktu pandemik.

“Jadi, hasil tanaman yang dapat dituai menjadi semakin sedikit kerana terlalu banyak perkara yang tidak dapat dilakukan,” katanya.

SEKTOR perladangan antara yang teruk terjejas disebabkan kekurangan pekerja asing.

Muhammad Shahir bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila menerima GKP dan bantuan pertanian daripada kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, dari segi bantuan sebenarnya tiada masalah. Selain dapat GKP, saya juga terima bantuan pertanian dari segi perkakasan dan baja.

“Jadi dapatlah membantu serta meringankan beban ketika itu kerana pemborong juga menekan petani seperti saya dengan mengambil hasil pada harga murah,” katanya.

Nuratika

Seorang lagi pengusaha PMKS yang terlibat dalam sektor acara perkahwinan, Nuratika Adnan, 28, pula menceritakan dia mungkin terpaksa menutup perniagaan jika tidak menerima bantuan GKP daripada kerajaan.

“Saya hampir gulung tikar gara-gara tidak beroperasi. Sewa kedai tak mampu dibayar dan pekerja pula terpaksa diberhentikan.

“Apabila dapat sahaja GKP yang pertama, saya lega kerana dapat selesaikan beberapa komitmen bayaran yang tertunggak,” katanya.

Mengulas situasi perniagaannya pasca pandemik, Nuratika berkata, segalanya semakin pulih seperti biasa dan berpandangan pelaksanaan PPN kini lebih teratur dan bersifat menyeluruh, lebih-lebih lagi buat industri PMKS.

“Saya harap sekarang ini, perniagaan dan ekonomi kembali pulih seperti sedia kala. Meskipun sudah masuk ke fasa endemik, masalah tenaga kerja masih ada dan bilangan pelanggan juga masih kurang,” jelasnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI