fbpx

Media sosial bukan tempat ‘kumpul dosa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANGAN menambah dosa 'kering' dengan berkongsi perkara tidak sepatutnya di media sosial.-GAMBAR HIASAN
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BERSETUJUKAH anda apabila penulis mengatakan media sosial kini menjadi medan untuk orang ramai membuka pekung di dada, menceritakan aib sendiri dan orang lain, saling menjatuhkan, bertelingkah dan menjadi batu api dalam pelbagai isu?

Bunyinya seperti negatif, namun itulah hakikat sebenar yang terjadi. Tidak keterlaluan jika dikatakan media sosial kini menjadi ‘lubuk’ mengumpul dosa.

Sikap pengguna yang berlumba-lumba menceritakan masalah keluarga, kisah rumah tangga dan isu-isu peribadi bagaikan satu trend sehingga akhirnya memakan diri atau ‘melondehkan’ semua cerita memalukan.

Keadaan ini bukan hanya berlaku dalam kalangan selebriti, bahkan orang biasa atau mungkin juga rakan-rakan kita.

Ada masanya, terkejut apabila membaca hantaran yang dimuat naik kerana amat bersifat sensitif, namun akhirnya menjadi bahan bacaan umum.

Misalnya, pergaduhan pasa­ngan suami isteri yang diluahkan di media sosial, perselisihan faham antara ahli keluarga dan perasaan berkecil hati dengan mentua yang diluahkan.

Sedar atau tidak, semua keada­an itu hanya mengeruhkan keadaan, bahkan boleh membawa kepada pergaduhan besar atau dibuli secara siber.

Menurut Pakar Psikologi Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor, keadaan ini berlaku kerana apabila seseorang itu berada dalam keadaan tidak puas hati dan tiada sesiapa yang boleh mendengar, jalan penyelesaian terakhir adalah dengan memaparkan masalah peribadi di laman media sosial.

“Sama ada luahan diterima secara baik atau tidak, apa yang penting adalah respons yang diterima. Bahkan, jika tidak dapat menguruskan emosi dengan baik, respons yang tidak baik boleh membuatkan seseorang itu berada dalam keadaan tertekan.

“Dari sudut psikologi, semua paparan yang dikongsikan itu memerlukan pengiktirafan masyarakat, perhatian ramai atau individu,” katanya.

Tambah Mariani, trend tersebut tidak boleh dikekang kerana boleh dikatakan hampir setiap individu mempunyai peranti di tangan, justeru mereka bebas berkongsi di media sosial.

“Jadi sekarang, sistem dalam talian ini hanya boleh dikawal dalam satu unit keluarga. Keluarga memainkan peranan penting dalam memberikan kasih sayang, pengiktirafan, keselamatan dan segalanya” jelasnya.

Selain itu, Mariani berkata, terdapat juga sebilangan individu yang mempunyai tabiat gemar berkongsi segala-galanya di media sosial walaupun mereka tidak mengalami sebarang masalah.

“Sesetengah orang mempu­nyai tabiat suka menunjuk-nunjuk kepada rakan atau keluarga.

“Bila keadaan ini berlaku, rakan-rakan sebaya memainkan peranan penting dengan cara memberi teguran santai bagi mengelak sebarang isu,” jelasnya.

Dalam hal ini, Mariani berkata, tiada pihak yang perlu dipersalahkan, sama ada peranti, teknologi, platform media sosial atau individu itu sendiri kerana ia adalah perkara harian yang dilalui setiap orang.

“Boleh jika mahu meluah di media sosial, namun perlu berpada-pada agar tidak memberi kesan kepada diri,” katanya.

Justeru, sebelum berkongsikan masalah ‘dalam kain’ di platform media sosial, adalah lebih baik kita berfikir dahulu baik buruk tindakan tersebut.

Jangan sampai wajah atau cerita kita menjadi tular, ‘meme’ atau bahan fitnah, barulah kita mahu menyesal atau menggelar diri sebagai ‘mangsa keadaan’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI