KUALA LUMPUR – Bagai jatuh ditimpa tangga dan barangkali itu nasib kehidupan yang sedang ditanggung gitaris legenda tanah air, Man Kidal.
Selepas terpaksa menanggung rugi RM400,000 akibat pembatalan konsert dan kemudian hidup susah hingga diberi status ‘asnaf sementara’ ketika fasa pandemik, kini dirinya diisytiharkan muflis pula.
Anggota kumpulan Lefthanded itu mendedahkan, arahan mahkamah tersebut diterima minggu lalu susulan seorang rakan yang menggunakan namanya untuk membeli kenderaan mewah namun culas menjelaskan pinjaman bank.
Katanya, walau buntu mencari jalan penyelesaian supaya kerjaya muzik tidak tergendala kerana status berkenaan, dia tetap gagahkan diri bekerja keras demi melunaskan hutang.
“Sekarang saya kena kerja keras sebab fasa selepas pandemik ini kita boleh nampak ada kemajuan dari segi tawaran. Saya kena rebut peluang. Banyak kena dilunaskan. Itu yang kerja sampai pengsan.
“Sebenarnya, baru minggu lepas saya dapat notis muflis. Orang pakai nama saya untuk beli kereta. Ikutkan isu membabitkan jumlah RM340,000 ini sudah berlanjutan selama enam tahun.
“Saya pun tak tahu macam mana nak selesaikan isu ini. Nak paksa dia bayar pun tak boleh sebab kita tak tahu masalah dia. Saya pun ada salah, terlampau percayakan orang.
“Inilah ujian untuk saya. Selepas konsert batal, disusuli serangan Covid-19, kemudian sakit sampai kena bedah hingga tak dapat bekerja dan diberi status asnaf, sekarang muflis pula.
“Ikut perancangan saya akan ke Jakarta, Indonesia pada 25 November depan untuk Konsert Kolaboraci Three To Rock, jadi memang kena selesaikan hal bankrupsi ini,” katanya.
Pemilik nama sebenar Abdul Rahman Mahmood, 58, itu berkata demikian selepas sidang media konsert Kolaboraci Three To Rock yang menyatukan pemuzik Malaysia, Singapura dan Indonesia, semalam.
Persembahan mega yang bakal dipancarkan secara langsung menerusi maya itu turut disertai
Lola (XPDC), Cliff Umar (Project Pistol), manakala dari Singapura menampilkan Yazid daripada Love Hunters.
Sementara itu, Man Kidal berharap segala perancangan beberapa projek tahun ini dapat direalisasikan supaya dia dapat meneruskan usaha menambah pendapatan.
Demi menjaga stamina, dia yang memaklumkan tidak sekuat dahulu kini mengamalkan pengambilan suplemen selain mendapatkan rehat yang cukup. – KOSMO! ONLINE