AMPANG – “Saya sedia untuk dibicarakan”.
Itu kata ringkas usahawan kosmetik Safiey Ilias ketika ditemui di Mahkamah Ampang di sini selepas sebutan kes empat pertuduhan seksual terhadap dua remaja lelaki melalui laman sosial Instagram tahun lalu.
Menurut Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 28, dia tiada masalah berdepan dengan perbicaraan dan akan patuh pada prosedur mahkamah kerana sepanjang kes, dia telah memberi kerjasama yang baik.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan empat hari bermula Julai tahun depan bagi perbicaraan empat pertuduhan kes tersebut.
Hakim Norhazani Hamzah menetapkan 24 hingga 27 Julai 2023 bagi perbicaraan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadang dan ditetapkan.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Nurhashimah Hashim memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.
“Seramai 12 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan,” kata Nurhashimah.
Sejurus dimaklumkan perkara itu, peguam Harjeet Singh Sidhu yang mewakili Safiey Ilias mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen terbabit selain bersetuju dengan tarikh-tarikh perbicaraan yang dicadangkan dan ditetapkan.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 17 April 2023 untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula.
Mengikut dua pertuduhan Safiey Ilias yang popular dengar lagu ‘Syinta Gila’ itu, didakwa berkomunikasi secara seksual melalui platform Instagram dengan dua remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.
Sementara dua lagi pertuduhan dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual.
Safiey Ilias didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, pukul 9 pagi pada 9 Jun 2021.
Bagi kesemua pertuduhan itu Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan berhubung dua pemilik akaun dikenali sebagai ‘safieyillias94’ dan ‘pipinatasha’ yang berpakaian mencolok mata semasa mengadakan sesi perbualan sidang video secara langsung bersama rakannya di Instagram yang disertai dua kanak-kanak bawah umur. – KOSMO! ONLINE